JR rasa kebanyakan lepasan SPM sedang menghadapi masalah yang sama seperti anak keempat JR ni. Nak pilih yang mana satu? Mana satu idaman kalbu?
Kira-kira dua minggu lepas Fahmie (F) anak keempat JR menerima tawaran untuk memasuki Kolej Matrikulasi Pahang yang terletak di Gambang. Sesi pengajian akan bermula pada 27 hb Mei 2013. Tak lama lagi la tu...
Dua hari lepas pula F menerima tawaran dari UPU (Unit Pusat Universiti) untuk memasuki UiTM. Hari ini bila semak baru dapat tahu dia dapat di UiTM kampus Arau, Perlis.
Sekarang dia sedang pening memikirkan nak ke Kolej Matrikulasi Gambang atau UiTM Arau.
Kalau ambil matrik cuma belajar setahun, kemudian boleh sambung ijazah. Kalau ambil diploma kena belajar 3 tahun sebelum menyambung ijazah...rugi dua tahun.
Anak kedua JR juga dulu menghadapi dilema yang sama. Dia dapat Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah dan UiTM Arau, kedua-duanya bidang kejuruteraan. Pada mulanya dia nak pergi ambil diploma sebab berdasarkan pembacaannya dalam internet ramai yang membuat cerita yang menyeramkan tentang matrik. Kena belajar gila-gila dalam matrik, jadaul belajar terlalu padat hingga nak mandi tak sempat, ada budak jadi tak siuman kerana tak tahan dengan tekanan dan lain-lain. Semuanya menakutkan!!!
Tapi akhirnya anak nombor dua JR itu memilih matrik, dia kata dia mahu melawan cabaran. Memang belajar setahun di sana JR dapat merasai kesakitan yang dihadapinya. Bila sesekali balik, termasuk cuti semester yang sangat singkat itu, sentiasa ada assignment yang perlu disiapkannya. Bila cuti Raya pun hatinya sentiasa teringat assignment yang belum siap. Katanya pelajar di sana juga semuanya ulat buku, sebab kalau tak jadi ulat buku, kita akan jadi ulat bangkai, maksudnya gagal.
Tapi nasib baik anak nombor dua itu dapat menamatkan pengajian dengan jaya dengan pointer yang agak lumayan. Sekarang dia sedang berada di semester 4 di UTHM, Johor. Bulan September nanti dia akan memasuki Tahun Tiga. Malang sekali bagi rakan-rakan yang memilih diploma, ketika dia sudah berada di Tahun Tiga, mereka baru nak mendaftarkan diri di semester 1 Tahun 1.
Sekarang F anak keempat JR sedang berasap kepala nak pilih matrik atau diploma. Dia di persimpangan dilema...
Bila F tanya pandangan JR, dia nak pilih matrik atau diploma, JR beri pro & cons matrik dan diploma. JR tak mau memaksa, sebab JR takut tersilap. Jika daya ketahanannya tinggi dia boleh ikut jejak abang nombor dua yang ambik matrik (sekarang buat ijazah di UTHM Johor). Kalau tidak yakin, dia boleh ikut langkah abang nombor tiga yang ambil diploma (sekarang di UTeM Melaka)
Antara Pro & Cons Matrik dan Diploma:
MATRIK
Pro:
i) Pengajian cuma setahun, lepas tu boleh sambung ijazah
ii)Kerajaan tanggung pengajian sepenuhnya, tak perlu pinjaman PTPTN
iii)Cepat dapat kerja, lepas dapat ijazah terus boleh cari kerja...
Cons:
i) Jadual belajar sangat ketat, sebab nak habiskan semua subjek dalam setahun. Kepala selalu berasap, rasa nak pecah...
ii) Peraturan di asrama juga khabarnya agak ketat bagi melahirkan pelajar terbaik yang dapat sambung ke peringkat ijazah.
iii) Jika dapat pointer yang rendah, alamat tak dapat sambung ke peringkat ijazah, kena patah balik ambil diploma pula, lepas tu baru boleh sambung ijazah, rugi berganda...
iv) Kelulusan matrikulasi tak laku untuk pasaran kerja. Ini kerana kelulusan Kolej Matrikulasi tidak menerima sijil, yang ada cuma slip peperiksaan matrikulasi.
DIPLOMA
Pro:
i) Pengajian tiga tahun, ada masa untuk honeymoon di awal tahun.
ii)Kelulusan diploma boleh digunakan untuk memohon kerja, tidak seperti slip peperiksaan matrikulasi yang tak boleh digunakan untuk minta kerja.
Cons:
i) Perlu dapatkan pinjaman PTPTN untuk biayai pelajaran (tidak seperti matrik yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan)
ii) Perlu belajar selama tiga tahun (36 bulan) sebelum menyambung ijazah.
iii) Lambat dapat kerja kerana lepas belajar 3 tahun untuk diploma kena sambung untuk ijazah pula...
Apa pun, anak JR kena buat keputusan sehari dua ni ke mana dia nak pergi. Kalau masih buntu di persimpangan dilema, JR nasihatkan dia buat solat istikharah....