»

30 April 2012

Pelanduk Dua Serupa..Dialah Polis Dialah Gangster


Kisah pelanduk dua serupa ni ada di mana-mana.

Pernah juga JR menegur seseorang yang JR ingatkan dia bekas cikgu kat sekolah menengah dulu, tapi rupanya dia orang lain. Malunya...

Sekali tu pula JR pernah menguis badan 'isteri' dari belakang, tapi bila wanita itu menoleh, tebalnya muka....rupanya orang lain yang berpakaian dan badannya hampir sama....Terpaksalah minta maaf kerana tersalah orang.  Kantoi...

Dan dalam perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini pun ada juga kes pelanduk dua serupa. Tengok foto di bawah ni:


Foto kiri, seorang yang bertindak ganas (dalam bulatan merah) sedang menyepak seorang polis trafik. Ganas sungguh penunjuk perasaan tu.

Gambar kanan pula, seorang anggota polis dengan wajah yang sama (dalam bulatan merah) sedang menahan seorang penunjuk perasaan. Lihat wajah dan bentuk bibir kedua-dua penunjuk perasaan ganas dan polis itu, saling tak tumpah...

Pasti kes pelanduk dua serupalah ni...


Tak kan ada polis kita yang menyamar menjadi penunjuk perasaan yang ganas tu pula kan? Mana boleh, polis kita bukanlah seperti polis Mesir masa kebangkitan rakyat Mesir tu yang sebahagiannya menyamar menjadi penunjuk perasaan supaya orang ramai menyalahkan penunjuk perasaan bila berlaku keganasan?  Polis kita juga bukanlah seperti polis Tunisia masa kebangkitan rakyat Tunisia yang sebahagiannya menyamar menjadi penunjuk perasaan?

Semua itu pasti tak benar. Polis kita bukan jenis seperti polis di luar negara yang melakukan provokasi untuk membuatkan orang marah. Ia kes kebetulan mukanya sama. Ia cuma kes pelanduk dua serupa.


Lagi pun polis kita baik-baik semuanya. Mana ada polis kita yang jahat, yang merompak orang, yang rasuah, yang pukul orang, mana ada...

Apa yang dikatakan oleh seorang pemimpin parti Umno bahawa ada 2,000 orang polis yang diarahkan menyamar jadi penunjuk perasaan supaya rakyat marah kepada penunjuk perasaan juga pasti tak benar.

Datuk Zaharin Mohd Yassin, Setiausaha Umno Bandar Tun Razak mengesahkan sebahagian polis (kira-kira 2,000 orang) menyamar sebagai peserta Bersih untuk membuat provokasi dan membangkitkan kemarahan orang ramai. Kata orang kuat Umno itu lagi yang merempuh sekatan di Dataran Merdeka dan yang membaling objek itu juga adalah polis.

Eh,eh, Datuk Zahrain ni...mentang-mentanglah dia kawan rapat Datuk Seri Najib, semua rahsia negara dia tahu...



Kesimpulannya pelanduk dua serupa ada di mana-mana, sama ada ia pelanduk yang berbeza tapi wajah seiras atau memang ia pelanduk yang sama seperti yang dikatakan oleh pemimpin Umno itu...

29 April 2012

Padah Berada Di Tempat Dan Masa Yang Salah


Korang pernah berada di tempat yang salah dan masa yang salah?

Minggu lepas kawan isteri JR mengalami nasib malang apabila ibunda tercintanya meninggal dunia apabila berada di tempat dan masa yang salah. Ketika itu ibunya yang sedang berehat di rumah tiba-tiba teringat hendak ke kedai. Anaknya kata ibu tak payah pergilah, biar dia saja yang pergi ke kedai beli barang kerana kebetulan dia nak top-up kredit hensetnya. Tapi ibu tetap nak pergi kedai. Di pertengahan jalan dia berhenti kerana melihat ramai orang berkerumun. Rupanya ada orang menjual ikan dengan harga yang murah. Ketika dia berada berhampiran orang ramai yang sedang berkerumun itu sebuah motorsikal datang laju dan melanggarnya. Ibu kawan isteri JR  meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Ibu kawan JR mungkin berada di tempat yang salah dan masa yang salah kerana sepatutnya dia berada di rumah masa itu. Tapi apa yang paling penting, segalanya berlaku kerana takdirnya telah ditentukan Allah. Jika Allah mengutus Izrael, ketika di rumah pun ajalnya akan sampai juga.

Hari ini JR baca beberapa lagi kisah tentang orang yang di timpa kemalangan kerana berada di tempat yang salah dan di masa yang salah:

KES 1:


Seorang peguam yang bertindak sebagai pemerhati dalam perhimpunan BERSIH 3.0 semalam mendakwa diserang anggota polis yang bertindak memukul dirinya walaupun selepas ditahan.

Mohd Haijan Omar berkata beliau dalam perjalanan ke Reggae Mansion Hostel di Jalan Tun HS Lee ketika beliau melihat beberapa orang polis sedang mengejar peserta perhimpunan dalam kejadian pada sekitar jam 7 petang.


Beliau kemudiannya terkejut apabila anggota polis itu bertindak mengejar dirnya.


Peguam yang bertindak untuk Lawyers for Liberty itu menambah, dua anggota polis tersebut terus memukulnya walau selepas menyatakan bahawa beliau seorang peguam.

haijan omar 290412 
Mohd Haijan..luka dipukul polis

Kemudian, tiga orang anggota polis lagi tiba dan memukul dirinya walau selepas beliau ditahan, katanya.

Mohd Haijan berkata beliau turut dipukul dua lagi anggota polis ketika dibawa ke Dataran Merdeka selepas itu.

Katanya beliau telah bertanya sebab penahanan beliau namun tidak mendapat jawapan.

Katanya lagi, beliau kini mengalami luka di bahagian bahawa mata kirinya, bengkak di rahang dan juga lebam di bagian lain badannya. (sumber: mk)



KES 2:

Wartawan akhbar The Sun, Radzi Razak yang mendakwa dipukul sehingga tujuh orang anggota polis hari ini menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Radzi, Najib telah meminta maaf kepadanya atas insiden tersebut.

radzi razak najib 290412
DS Najib meluangkan masa melawat Radzi yang dipukul oleh tujuh orang anggota polis..

Radzi ketika ditemui mendakwa beliau dipukul oleh tujuh anggota polis berkenaan ketika berada di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Tuanku Abdul Razak dalam insiden semalam. (sumber: mk)

KES 3:


Anggota polis yang memandu kereta sehingga menyebabkan kemalangan dengan beberapa peserta perhimpunan BERSIH 3.0 mendakwa beliau tidak berapa sedar ketika insiden itu berlaku semalam.

Anggota berkenaan, Mohamad Kamil Paimin berkata beliau "keliru" setelah kehilangan banyak darah akibat dipukul di bahagian kepala dengan objek keras.


"Saya tak tahu apa berlaku. Saya sedar-sedar saya dah ada di sini (HKL). Tapi yang saya pasti, kepala saya diketuk dengan objek keras," katanya.

mohamad kamil paimin 290412
Mohamad Kamil mendakwa diserang peserta perhimpunan


Mohamad Kamil mendakwa, beliau yang dalam perjalan ke Dataran Merdeka daripada Pusat Latihan Polis itu sebelumnya diserang oleh peserta perhimpunan.

Katanya, beliau tidak melalui jalan alternatif kerana tidak mahir dengan selok belok jalan di Kuala Lumpur.

"Saya tak tahu situasi jalan di situ kerana saya orang luar. Saya dari Kuala Terengganu," katanya. (sumber: mk)


Semua kejadian itu berlaku semalam. Semua mereka dalam ketiga-tiga kes ini berada di tempat yang salah dan masa yang salah. Kepada rakan-rakan yang membaca blog ini, cuba jangan berada di tempat dan masa yang salah jika kita memang menyedari bakal menghadapi risiko. Kecualilah kita tidak menyedari risikonya seperti kes ibu kepada rakan isteri JR itu...

Saiz Payudara Wanita Mengikut Negara


Tengahari tadi tengok berita TV...ah, berita utama masih tentang Bersih 3.0, Bersih 3.0, Bersih 3.0. Masih tentang demonstran Bersih 3.0 yang dikatakan ganas, demonstran yang menterbalikkan kereta polis:


Boringlah, asyik baca kisah orang bergaduh. Buka internet la pula...

Tapi buka internet pun dua kali lima. Banyak blog yang masih membicarakan tentang Bersih 3.0. Ah, lagi-lagi Bersih, Bersih, Bersih...Cuma banyak cerita dalam blog adalah dari sudut berbeza yang tak sama dengan berita TV. Kisah kereta polis langgar demonstran hingga tercedera, kisah demonstran naik angin lalu menterbalikkan kereta polis yang melanggar rakan mereka. Juga kisah tentang polis membelasah dan menerajang demonstran:



557620_303110903101412_171353042943866_688137_1238254801_n.jpg (320×213)

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash3/s320x320/522466_10150698539477592_358919387591_9961343_366460331_n.jpg

Ish..ish..ish...kisah keganasan lagi. Tak ada cerita yang menceriakan hati sikit ke?


Sehingga akhirnya terjumpa berita ini. Berita ini confirm buat semua orang ceria: 


SAIZ TETEK MENGIKUT NEGARA

Bermacam-macam  aspek yang menjadi ukuran dan perbandingan, baik ekonomi dan politik, mahupun sosial dan pendidikan; daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada daya saing sesebuah negara; daripada beban hutang (negara dan isi rumah) kepada defisit belanjawan   Pendek kata, banyak  perkara yang diukur dan dibandingkan.

Dua hari lalu, The Huffington Post menyiarkan peta yang menunjukkan saiz tetek, "negara manakah di dunia ini membanggakan wanita dengan tetek yang besar?   Dengan merujuk peta, menurut akhbar itu, anda akan memperoleh jawapan.  Akhbar Jerman, Bild menyebut peta "Atlas saiz piala" yang hakikatnya,  merupakan salinan peta "Saiz Piala Tetek Purata di Dunia." 

Semua peta itu tidak menyatakan bagaimana saiz tetek diukur (meskipun kita membayangkan meneliti pembelian coli mengikut negara merupakan satu cara yang unggul).  Namun, pada kedua-dua peta itu, wanita Rusia, Finland, Sweden, dan Norway, kelihatan merupakan "pemenang" terbesar," membanggakan saiz coli "yang lebih besar daripada "Piala D" (saiz besar).

Sementara wanita di Amerika Syarikat kebanyakannya mempunyai titik saiz "piala D," bersama-sama dengan waita Venezuela dan Colombia. Wanita yang bertetek kecil (Piala A) kelihatan dapat ditemui di Afrika dan Asia, terutamanya Asia Timur,  termasuk Malaysia.  Negara di luar rantau ini yang bersaiz "piala A" antaranya Latvia, Estonia, Peru, dan Bolivia.  

India yang jika dilihat seniwati Bollywood mempunyai tetek yang "semangat," hanya boleh berpuas hati dengan "Piala B" bersama-sama beberapa negara di Asia Selatan, seperti Pakistan dan Afghanistan, dan negara lain, seperti Iran, Iraq, Arab Saudi, Turki, Mesir, dan Kazakhstan.

(Sumber: di sini)

28 April 2012

Hello 999....Orang Kuning Sudah Tawan KL!!


Hello 999...KL sudah kena tawan dengan orang kuning!!

Berapa ramai orang kuning yang menawan KL hari ni? Polis KL dalam berita TV tengahari tadi kata 25,000 orang kuning sedang memenuhi KL.

Sumber blog sebelah sana pula kata jumlahnya lebih dari 100,000 orang. 
Ada yang kata jumlahnya terlampau ramai macam ulat:



Antara yang turut hadir dalam perhimpunan kuning Bersih 3.0 itu ialah Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, bekas Menteri Pelancongan Tan Sri Kadir Sheikh Fadir serta tokoh-tokoh parti pembangkang dan parti kerajaan dari pelbagai kaum.

http://a8.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash3/562219_10150748184623369_196573983368_9525255_193332043_n.jpg


Semoga tak ada apa-apa yang terjadi. Nak berhimpun, berhimpunnlah dengan aman. Polis yang berkawal juga berkawallah dengan aman. Malam ini semuanya dapat tidur lena, tidak ada yang tidur di wad kecemasan atau ICU. Peace no war...

http://a3.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-prn1/535405_10150753807259192_87433504191_9094385_1793972707_n.jpg






Suka dengan foto di bawah ni, gadis kuning hadiahkan jambangan bunga kuning kepada polis yang berkawal sambil rakan-rakan memerhati  dengan  senyuman berbunga:

Fasha Sandha Sah Bergelar Isteri (Foto-Foto Kahwin)



 

Selamat pengantin baru Fasha Sandha (Nur Fasha Sandha Hassan)  28 tahun yang kini dah sah bergelar isteri kepada usahawan Jejai (Rizal Ashram Ramli), 36, dalam acara akad nikah yang diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara sebentar tadi. 

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa kandung Fasha, Hassan Umbichi Moideen kira-kira pada pukul 9.45 malam (Jumaat) bersaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Sahirman Ahmad.
Rizal Ashram melafazkan nikah sebanyak dua kali.
Majlis itu dihadiri kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada bapa Jejai iaitu bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, ibu kandung Fasha Hatijah Tehman dan bapa tirinya, Mohd Faisal, kaum keluarga, teman-teman rapat, rakan artis dan wakil media.
Fasha menerima mas kahwin sebanyak RM8,888.88 tetapi enggan mendedahkan jumlah wang hantaran kepada umum.


(Foto: mStar)

Sekali lagi selamat pengantin baru Fasha, semoga lepas ini tiada lagi isu kontroversi yang boleh mencalarkan nama anda dan keluarga....

27 April 2012

BERSIH 3.0: Apa Nak Jadi Dengan KL Esok??



 

Esok 28 hb April hari Sabtu. Korang yang tinggal kat KL pasti tahu esok akan ada satu event menarik kat KL: Perhimpunan Bersih 3.0. Tak payahlah JR nak ceritakan apa itu Bersih 3.0, telinga pun dah nak pekak kerana sejak 2-3 minggu lalu TV hari-hari bercakap tentang apa itu Bersih 3.0 yang bertemakan 'Duduk Bantah' itu. 



Apa nak jadi dengan KL esok, terutamanya lokasi sekitar Dataran Merdeka? Adakah polis akan menembak lagi seperti Bersih 2.0 dulu, peserta bertempiaran lari, huru-hara dan ada seorang peserta mati?  Anak Dr Mahathir (Datin Paduka Marina Mahathir) akan ikut berdemonstrasikah lagi seperti sebelum ini?  Macam-macam persoalan yang cuma akan terjawab esok.

Yang pastinya  Mahkamah Majistret Kuala Lumpur tengahari tadi dah keluarkan perintah  menghalang penganjur Bersih 3.0 dan orang awam daripada berhimpun dan memasuki Dataran Merdeka esok. Maknanya sapa yang berani masuk Dataran Merdeka esok perlu bersedia untuk berhadapan dengan risiko ditangkap polis. 


Tapi penganjur BERSIH pula menyatakan  Himpunan Bersih 3.0 Duduk Bantah tetap akan diadakan di Dataran Merdeka esok walaupun mahkamah mengeluarkan perintah supaya orang ramai tidak memasuki kawasan itu. Penganjur perhimpunan menetapkan enam lokasi untuk berkumpul iaitu Masjid Negara, KLCC, Jalan Sultan, Pasar Seni, Jalan Brickfields dan Dataran Gajah (Brickfields) sebelum beramai-ramai berarak menuju ke Dataran Merdeka.

Jurucakap BERSIH berkata, perhimpunan itu akan bermula jam 2.00 petang lepas solat zohor dan akan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Sekali lagi: apa nak jadi dengan KL esok?

JR harap tak akan ada apa-apa yang buruk terjadi esok. Tak akan berlaku konfrontasi orang ramai dengan polis, tak akan berlaku tembakan meriam air, tak akan berlaku tembakan tear gas, tak akan ada yang akan tercedera dan meninggal seperti BERSIH 2.0. 

Cerita Hantu Benar: Hantu Tengelong


 

Ni dah dekat tengah-tengah malam ni, sapa nak dengar cerita hantu? Ini bukan cerita hantu rekaan tau, ia kisah benar berdasarkan pengalaman JR sendiri. Malam Jumaat macam ni seronok kan bercerita tentang cerita hantu? Kat TV3 tadi pun ada siri cerita hantu, tapi itu hantu rekaan, nak tergelak pun ada tengok wajah hantu yang di mekap dengan wajah keterlaluan yang melucukan itu..

Masa di kampung dulu (kampung JR di Seberang Perai, Pulau Pinang), JR dan adik-adik selalu terlihat satu cahaya terang berwarna bulat yang terapung terbang di tengah sawah atau di pinggir sawah pada waktu malam. Kebetulan rumah JR tak jauh dari sawah. Objek bercahaya terang ini paling kerap kelihatan waktu malam lepas hujan turun. Orang kampung  kami memanggil objek tu "hantu tengelong". Objek ini suka berkeliaran di waktu malam lepas hujan turun kerana kononnya untuk memburu katak yang gemar mengawan di waktu itu.

Bila kebetulan ketika itu JR berada di luar rumah dan ternampak objek itu sedang terapung-apung di tengah sawah, JR akan memanggil adik-adik, "Tengelong, tengelong... sapa nak tengok tengelong!!". Lalu kami adik beradik beramai-ramai pergi melihat objek bernama hantu tengelong yang jaraknya biasanya lebih 100 meter dari rumah itu. Hantu tengelong ini biasanya akan terapung di udara, kemudian turun rendah (kata orang kampung dia menangkap katak) dan kemudian terbang tinggi dan hilang di celah-celah pokok di pinggir sawah...

Biasanya hantu tengelong yang kami lihat itu tak begitu jelas, maklumlah jarak dengan kami lebih dari 100 meter. Ia cuma berupa cahaya terang, tak nampak pula sama ada hantu itu ada badan, kaki atau tangan! Tapi ada orang kampung bercerita jika nasib tak baik dan kebetulan kita melalui kawasan jalan berhampiran sawah di tengah malam kita akan bersua dengan hantu itu dalam jarak dekat dan hantu itu akan mengejar kita. Tapi mengikut mereka hantu itu setakat mengejar manusia saja, dia tak pernah mencederakan sesiapa. 

Suatu malam tu, aruah ibu JR meminta JR pergi mencari barang yang kebetulan tertinggal di pinggir sawah. Biasalah anak kampung macam JR ketika itu, tak pernah rasa takut berjalan waktu malam. Sedang mencari barang itu, tiba-tiba rasa macam ada satu cahaya besar di belakang JR. Mulanya JR ingatkan cahaya kereta masuk kampung, tapi bila berpaling ya Allah...satu cahaya terang sedang terapung-apung di udara, berada dalam jarak lebih kurang 10 meter saja dari JR. JR sungguh terkejut lalu macam tak cukup tanah lari lintang pukang memasuki rumah. Ibu JR kata cahaya besar yang terbang tak jauh dari JR itu memang confirm hantu tengelong. Kata ibu JR hantu tengelong ada kepala dan separuh badan dengan tali perutnya terjurai..Cuma dalam keadaan panik JR tak pasti bagaimana bentuk sebenarnya. Yang JR ingat ia cuma cahaya terang dan besar...itu saja...

Sampai sekarang JR tertanya-tanya apakah objek yang dikatakan hantu tengelong itu benar-benar hantu, maksudnya dari spesis jin dan iblis atau ia cuma spesis binatang yang aktif di waktu malam? Jika ia hantu, mengapa hantu itu cuma muncul lepas hujan dan suka memburu katak dan bukannya darah manusia? 

Nota: Di negeri lain, hantu tengelong juga dikenali sebagai hantu penanggalan..

26 April 2012

Polis Baik, Polis Jahat


 
Masa kecik-kecik dulu JR pernah bercita-cita nak jadi polis. Bukan JR sorang, ramai juga kawan-kawan masa hingus masih meleleh tu bila ditanya nak jadi apa bila besar, jawapan yang paling kerap ialah nak jadi polis atau askar. Mungkin masa tu terpengaruh dengan banyak cerita di TV mengenai kerja polis? Antaranya ialah "Gerak Khas" di RTM1. Tak tau pula JR sama ada siri ni masih ada di TV sekarang, sebab kalau tak silap 2-3 tahun lalu masa pergi rumah seorang kawan nampak anaknya sedang menonton siri TV yang diarahkan oleh Datuk Yusof Haslam tu.

Masa di sekolah rendah dulu, JR paling tak suka dengan anak-anak polis. Bukan semua, tapi sebahagian mereka sangat nakal dan samseng: kaki buli orang, kaki pukul, kaki vandalisme, ah...macam-macam kaki lagilah, pokoknya jenis kaki-kaki yang tak baik ramai terdiri dari anak polis. Sekali lagi, bukan semua, bukan semua anak polis jahat...ramai yang baik juga, tapi kerana ramai anak polis menunjukkan perangai samseng dan tak baik, anggapan umum budak-budak sekolah masa tu ialah anak polis samseng-samseng belaka.

Masa JR sekolah menengah, JR pergi sekolah naik basikal. Di satu selekoh tu selalu ada road-block. Banyak kali juga JR tengok perangai tak senonoh anggota polis yang sedang menerima suapan dari penunggang kapcai dan pemandu lori. Mereka senyum saja kat JR yang ternampak wang merah atau hijau-biru selalu bertukar tangan, tak ada rasa bersalah sikit pun di wajah mereka. Sejak itu JR tak bercita-cita nak jadi polis lagi: polis jahat, suka makan rasuah!



Bila dah kerja, kebetulan kerja JR memerlukan banyak berhubung dengan jabatan kerajaan, termasuk polis. Jadi ramailah juga polis yang jadi kenalan JR. Dari situ tau lah JR, polis pun manusia biasa, ada yang baik ada yang jahat. Tapi lebih ramai yang baik dari yang jahat. Tapi yang jahat itu, jenis yang suka makan rasuah, salah guna kuasa pergi menyamun warga asing, suka mengugut orang..itulah yang selalu masuk berita akhbar. 

Bila tengok drama TV, termasuk "Gerak Khas", atau filem mengenai polis seperti "Maria Mariana" dan banyak lagi, tak pernah pula JR tengok ada cerita mengenai polis jahat. Tak pernah sekali dipaparkan dalam drama atau filem negara kita cerita polis rasuah, polis salah guna kuasa, polis guna pistol menyamun warga asing atau polis yang berkawan dengan gangster dan minta wang perlindungan dari gangster....tak ada. Mungkin cerita polis jahat tak boleh disiarkan di TV atau filem, kerana ia boleh menjatuhkan imej polis, walaupun masyarakat tau bukan semua polis itu baik. 

Ia berbeza dengan drama atau filem dari Hollywood, Hongkong atau Bollywood sering disiarkan cerita polis jahat dan polis baik. Kadang-kadang cerita polis pangkat rendah jahat tapi bossnya baik. Kadang-kadang cerita polis pangkat rendah baik, tapi bossnya jahat. Kerana itulah realitinya: ada polis baik, ada polis jahat. Bukan semua polis jahat, bukan semua polis baik...

Tapi dalam drama atau filem Melayu, semua polis kita dari pangkat konstabel hingga koperal, sarjan, inspektor, ASP, DSP, SP dan entah apa-apa P lagi semuanya baik-baik belaka. Tak ada polis jahat dalam cerita Melayu....


Mengapa tiba-tiba teringat nak bercerita tentang polis pula ni? Mungkin kerana baru sebentar tadi ada rakan blogger bercerita tentang polis kot...

Cara Mudah Menemukan Semula Barang Yang Hilang


 

Korang pernah tak menghadapi masalah barang yang diyakini ada dalam rumah tapi puas dicari masih tak ditemui? Masa kecil-kecil dulu ada seorang kawan JR yang memberi petua bagaimana nak ditemukan semula barang yang hilang itu. Caranya ialah dengan membaca selawat, kemudian niat dalam hati apa barang yang nak dicari, dan lepas tu letakkan sekeping kertas kecil atas tapak tangan. Kertas atas tapak tangan tu kemudian ditepuk dan ke arah mana ia melayang ke situlah kononnya barang itu berada. JR pernah mencuba petua itu masa kanak-kanak dulu, kadang-kadang memang menjadi tapi banyak kali juga memang tak jadi langsung, huhuhuhu...


Itu petua budak-budak, memang petua budak-budak banyak yang tak boleh pakai. 


Tapi ini ada satu petua orang dewasa pula, saintis lagi, mesti boleh percaya punya.. Gary Lupyan dari University of Wisconsin-Madison dan Daniel Swingley dari University of Pennsylvania telah mengkaji cara terbaik menemukan semula barang yang hilang. Untuk itu mereka membuat satu percubaan.

Peserta dewasa yang terlibat dalam percubaan ini diberi 20 foto yang mengandungi pelbagai objek berbeza. Mereka kemudian  diminta untuk mencari salah satu dari objek yang terdapat dalam salah satu foto tersebut. Peserta juga diminta memberikan nama untuk objek yang dicarinya. 

Sebahagian peserta diminta mencari objek sambil bercakap tentang benda yang dicari, manakala sebahagian lagi diminta mencari objek dalam diam (tak boleh bercakap).  Hasilnya orang yang bercakap ketika mencari objek didapati lebih cepat menemui barang yang dicari berbanding dengan mereka yang mencarinya dalam diam.. 


Saintis menyimpulkan hasil kajian ini membuktikan bahwa bercakap  sendiri boleh  mempengaruhi beberapa aspek dari proses pencarian visual, walaupun pengkaji belum mengetahui dengan pasti bagaimana prosesnya.

Walaubagaimanapun mengikut kesimpulan saintis berkenaan ada kemungkinan ketika seseorang itu bercakap sendiri sambil mencari barang akan merangsang bahagian tertentu dalam otak sehingga membuatnya lebih mudah mengesan  objek yang dicarinya.

Apa pun percubaan ini hanya sesuai untuk barang yang tersalah letak di dalam rumah, jika barang yang telah diangkut pencuri atau penyamun dan disembunyikan di tempat lain, sorilah ia tak akan ditemui.

Semoga petua ini dapat membantu korang yang menghadapi masalah yang sama...


Nasihat dari JR: Jika korang kehilangan barang, cuba elakkan dari menemui dukun yang biasanya akan meramalkan siapa pencurinya kerana dikhuatiri ia akan menyebabkan kegelinciran akidah...

25 April 2012

Artis Wanita Miliki Banglo 3 Tingkat RM4 Juta..Tahniah, Tahniah!!!

Korang percaya tak ada artis wanita kita yang mampu membeli rumah banglo tiga tingkat bernilai RM4 juta? Mengapa tak percaya, ingat artis kita sengkek sangat ke? 

Jangan bandingkan artis kita dengan Allayarham Seniman Agung P.Ramlee yang cuma tinggal di sebuah rumah kecil Jalan Ulu Kelang atau penyanyi evergreen Jamal Abdillah yang satu masa hanya menumpang di rumah Pengasih?

Siapa mereka jika dibandingkan dengan artis-artis kita yang sangat popular hingga ke planet Marikh tu?

Mengapa heran jika ada artis wanita memiliki banglo tiga tingkat bernilai RM4 juta? Bukankah artis kita dibayar mahal oleh produser kita - lebih mahal dari bayaran yang diterima oleh artis Hollywood, Bollywood  atau Playwood? Lagi pun artis kita memang popular, lebih popular dari artis Hollywood, Bollywood dan Playwood, sekali berlakon dibayar RM10-RM20 juta, dengan wang sebanyak itu mereka pasti bukan saja boleh beli banglo tiga tingkat RM4 juta, rumah banglo 20 tingkat RM400 juta pun mereka boleh beli kan?

Jadi jangan heran jika ada artis kita mampu beli banglo RM4 juta, jangan nak fitnah dia bahwa banglo itu dihadiahkan oleh seorang Menteri. Dekat pilihanraya ni banyak kabar angin yang suka memburuk-burukkan Menteri kita, sedang Menteri kita semuanya baik-baik belaka, pijak atok semut pun tak mati. Tak seperti Menteri-Menteri di luar negara seperti Mesir, Tunisia, Libya dan Yaman yang dibenci rakyat hingga mereka memberontak dengan kehidupan mewah Menteri-Menteri mereka.

Bersangka baiklah sikit dengan artis kita ni. Mereka kerja teruk, tidur tak cukup, ramai yang solat pun tak sempat kerana siang malam berada di set penggambaran, jadi janganlah cemburu dengan wang berjuta-juta yang mereka miliki.

Jangan bersangka buruk kepada artis kita, nanti korang kena saman malu baru tau!!

Oleh itu abaikan berita ini jika ia tak benar:


rumah RM4 juta artis ada hubungan dengan menteri? [gambar]

Banglo 3 tingkat bernilai RM4 juta yang dimiliki seorang artis di The Valley, Taman Bukit Indah, Ampang

KUALA LUMPUR: Seorang artis yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang menteri telah menduduki sebuah rumah berharga RM3 juta mulai awal bulan ini.

Rumah tiga tingkat beralamat di No 18, Jalan Lembah TTDI 3, Taman Bukit Indah (The Valley), Ampang adalah didakwa milik pelakon yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet.

Menurut sumber, rumah tersebut berharga RM3 juta dan pelakon tersebut telah memasuki rumah itu awal April lalu.

Malah menurut sumber itu lagi, artis wanita itu telah melakukan pengubahsuaian ke atas rumah tersebut dengan kos sebanyak RM1 juta.

Bagaimanapun, sumber itu memberitahu, rumah itu tidak dibeli atas nama artis berkenaan tetapi atas nama salah seorang ahli keluarganya.

Bagaimanapun segala urusan berkaitan ubahsuai rumah itu dilakukan oleh artis berkenaan.

Tinjauan Harakahdaily mendapati di bahagian hadapan kediaman tersebut turut terdapat pondok pengawal dan beberapa kamera CCTV dipasang di sekeliling rumah.

Sumber turut menyatakan, pelakon tersebut juga turut memiliki seorang jurulatih gimnasium peribadi yang akan melatih beliau di sebuah kelab dalam kawasan perumahan tersebut.

Dalam pada itu, beliau sebelum ini pernah memberitahu kepada penduduk taman tersebut bahawa beliau sudah berkahwin dan suaminya hanya datang bila ada masa terluang.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mendedahkan pemberian wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM1.5 juta yang didakwa dilakukan oleh seorang menteri kepada seorang artis hanya dalam tempoh empat bulan.

Beliau mendedahkan maklumat itu berdasarkan laporan polis yang telah dibuat oleh bekas pemandu peribadi artis terbabit.

Menteri dan artis nafi

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan beliau mempunyai hubungan dengan seorang artis wanita bernama Zahida Mohd Rafik.

Mohd Shafie kelmarin menafikan dakwaan yang dibuat ke atas sebelum ini dan mengancam untuk mengambil tindakan saman kepada mereka yang mengaitkan dirinya.

Pelakon berkenaan, Zahida juga turut tampil menafikan dakwaan itu Jumaat lalu dan berkata peguamnya juga sedang meneliti kes berkenaan. - harakahdaily

notasemut : rasanya dah boleh teka siapa artis yang dimaksudkan. kakaka. nasib la. dekat dekat pilihanraya scene bongkar membongkar ni memang standard. kadang kadang kita tak cari pun info tu datang sendiri.


(sumber: di sini...)

Haram Khatan Wanita, Boleh Dipenjara 14 Tahun

 
Ehem..ehem..sori JR ada satu soalan nakal (khas untuk wanita): korang dah berkhatan ke?


Sekali lagi sori...soalan ni sebenarnya ada kaitan dengan isu wanita berkhatan yang JR jadikan tajuk entri di tengahari panas ni.


Jangan tak tau ye, lelaki memang dibolehkan berkhatan, tapi wanita tak dibenarkan berkhatan. Amalan khatan wanita diharamkan oleh undang-undang kerana ia boleh menyebabkan maut! Jika ada wanita yang dikhatankan secara diam-diam, walaupun dah tau diharamkan mengikut undang-undang, siaplah....mereka yang bertanggung jawab mengkhatankan wanita boleh dihukum berat penjara selama 14 tahun
Sebelum korang yang wanita tu pengsan kerana pernah berkhatan masa kecik-kecik dulu, baca berita dari London ni dulu....:

LONDON: Sekurang-kurangnya 100,000 wanita di Britain dilaporkan berkhatan dengan pengamal perubatan di Britain yang menawarkan untuk menjalankan prosedur terbabit secara haram terhadap golongan budak perempuan seawal usia 10 tahun.
Sekumpulan wartawan dari Sunday Times berkata bahawa mereka merakamkan secara rahsia seorang doktor, doktor gigi dan pengamal perubatan alternatif yang didakwa bersedia untuk menjalankan khidmat khatan berkenaan atau mengatur supaya pembedahan dijalankan. Doktor dan doktor gigi terbabit menafikan mereka melakukan sebarang kesalahan.
Amalan berkenaan yang membabitkan pembedahan membuang alat kelamin dalaman dan dalam beberapa kes menjahit bukaan faraj adalah haram di Britain dan boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun. Ia juga bertentangan dengan undang-undang untuk melakukan pemotongan genitalia wanita (FMG).

Amalan yang dikenali sebagai ‘memotong’ secara tradisi dijalankan atas alasan budaya di Afrika dan dengan meningkatnya jumlah imigran dari negara seperti Sudan, Somalia dan Habsyah ia menjadi semakin biasa di Britain.

Ia dipercayai bertujuan untuk membuktikan ‘kesucian’ seorang gadis apabila mereka berkahwin. Pesakit biasanya jarang diberikan ubat bius dan akan mengalami kesakitan.

Kajian mendapati bahawa setiap tahun lebih 22,000 gadis di Britain dan lebih 6,000 di London berisiko terhadap prosedur yang mungkin boleh membawa maut itu.

Sebuah pertubuhan kebajikan yang berkempen menentang FGM, Forward menganggarkan bahawa sebanyak 100,000 wanita di United Kingdom melakukan khatan.

Model Waris Dirie, yang mendakwa pernah melakukan khatan ketika kanak-kanak adalah antara mereka yang bersuara lantang menentang amalan itu.

Beliau yang menggesa tindakan tegas terhadap FGM berkata: “Jika seorang gadis kulit putih didera, polis akan datang memecah pintu. Jika seorang gadis kulit hitam dikhatan, tiada siapa yang mengambil berat terhadapnya. Ini yang saya sifatkan sebagai perkauman.” – Agensi


JR: Dah berapa ribu orang wanita Islam yang mati kerana berkhatan di Britain? Dah berapa juta pula wanita Islam yang mati kerana berkhatan di Malaysia? Jawapannya di Malaysia jumlah wanita yang mati kerana berkhatan ialah  0..0..0..Tak pernah dengar ada wanita yang meninggal di Malaysia kerana berkhatan!


Wanita potong alat kelamin lelaki sampai putus pun tak pernah dengar ada yang meninggal, ini kan pula memotong alat se ciput itu di vagina wanita.  Karut betul mereka yang tak faham tentang Islam ni....

24 April 2012

Hampir-Hampir Kemalangan...Terima Kasih Tuhan!!


 
Malam ni JR hantar anak ke tuisyen. Cuaca memang tak baik semenjak dua menjak ni. Hampir setiap malam hujan. Malam ni pun hujan juga. Kalau sengaja nak keluar jalan-jalan tika hujan-hujan macam ni memang tak mau lah. Tapi kerana perlu hantar anak ke tuisyen, demi menambah ilmu, hujan lebat pun diterjah jua.

Lepas hantar anak ke tuisyen JR terus pulang ke rumah. Hujan masih lebat dan kasar. Dari cermin kereta yang kurang jelas ditimpa hujan yang sangat lebat, kelihatan deretan kereta dengan pelbagai tujuan.

Ketika tiba di suatu simpang hampir satu kilometer dari rumah, JR membelok ke kanan selepas pastikan tiada kenderaan yang menghalang laluan. Tiba-tiba terdengar satu hon kuat. Hampir-hampir lagi!!

Cuma jarak kereta JR dan kereta putih yang entah apa jenamanya (tak pasti kerana cuaca buruk) kira-kira dua meter. Jika JR terlewat sikit pasti dah berlanggar dengan kereta putih tu!!

Yang paling menyakitkan hati kereta itu tak pasang lampu.Bagaimana pemandunya bawa kereta dalam gelap dan cuaca seburuk ini tanpa memasang lampu? Gila betul! Dia pakai mata laser ke boleh nampak dalam gelap dan dalam keadaan hujan selebat ini? Mungkin lampu keretanya rosak? Tapi kalau lampu kereta rosak pun tak boleh berhenti seketika di tepi jalan atau di mana-mana tempat yang selamat ke? Kalau pun hang tu jenis manusia tak sayang nyawa, manusia berani mati, tak pernah terpikir ke nyawa orang lain yang tak berdosa. Damn!!

Ketika menulis entri ni hujan masih menderu-deru di luar rumah. Tapi cuaca  yang dingin di luar belum mampu menyejukkan hati JR sesejuk-sejuknya..

Apa pun syukur kepada Allah kerana tiada apa yang berlaku. Alhamdulillah...Allah masih sayangkan hambaNya....

Wajah Imam Rogol Gadis Sunti


 
Foto di bawah ni bukan bertujuan nak malukan keluarga dia. Tapi jadikan peristiwa itu sebagai iktibar. Sesungguhnya bukan semua mereka yang ilmu agamanya tinggi tahap imannya juga tinggi. Dan bukan semua orang yang ilmu agamanya rendah, tahap imannya juga rendah. Dalam dunia ini jangan ada wanita yang mudah percaya kepada lelaki walau sealim mana pun penampilannya, kerana setiap ketika bila ada seorang wanita dan seorang lelaki pasti akan ada satu gerombolan iblis di tengahnya. Hanya iman yang kukuh menjadi benteng pemusnah iblis. Ingat itu..
Dan jangan pula berita di bawah ni menyebabkan kita percaya semua imam tak boleh dipercayai. Jangan pula buat drama TV yang memburukkan imam hanya kerana satu dua berita negatif yang tak mewakili keseluruhan sifat seorang imam. Jangan kerana seekor dua kerbau membawa lumpur kita ingat semua kerbau macam itu. Seperti juga jika ada seorang dua menteri kaki perempuan, jangan ingat semua menteri kaki perempuan.
Kebanyakan imam adalah mereka yang terbaik di kariahnya. Sebahagian besar imam sangat tinggi benteng imannya. Tapi jika sahabat Nabi yang begitu rapat dengan Nabi pun cuba digoda iblis, apa lagilah kita yang hidup  di zaman 1,400 tahun selepas kewafatan Nabi.
Semoga Allah melindungi kita dan keluarga dari godaan iblis....
JOHOR BAHARU: "Sebagai seorang imam, tertuduh sepatutnya tahu mengenai hukum dan tidak patut melakukan perbuatan demikian. Tertuduh sepatutnya memberi contoh yang baik pada masyarakat dan juga menjaga nama baik institusi yang beliau wakili," kata Hakim Mahkamah Sesyen Nua'man Mahmud Zuhudi ketika menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan ke atas bekas imam sebuah masjid kerana kesalahan merogol remaja bawah umur.
Tertuduh didapati bersalah merogol mangsa di rumahnya di Jalan Camar 3, Taman Perling, di sini pada 21 Februari tahun lalu.
Hakim berkata tertuduh hanya menafikan dakwaan dia melakukan perbuatan jenayah tersebut dan gagal menyakinkan mahkamah dengan mengemukakan bukti prima facie
Nur Akmal yang telah berkahwin dan memiliki seorang anak berusia empat tahun pada mulanya kelihatan tenang namun gagal menahan emosi serta mengalirkan air mata ketika dia dipeluk oleh ahli keluarganya.
Timbalan Pendakwa Raya diwakili oleh Afif Ali sementara peguam bela Sukhaimi Mashud mewakili Nur Akmal. -BERNAMA

Bapa Orang Terkaya Di Malaysia, Anak Tunggalnya Cuma Seorang Sami


 
Seperti tak percaya...bapa orang terkaya nombor dua di Malaysia, atau terkaya nombor  89 di dunia, ada harta RM30 bilion, pemilik Astro dan Maxis, tapi anaknya, satu-satu anak tunggalnya cuma hidup sebagai sami di dalam kuil atas bukit jauh di dalam hutan...
Tapi begitulah dunia, bukan semua anak mahu hidup mewah seperti bapanya, ada yang mahu hidup sederhana, mengabadikan dirinya kepada Tuhan yang diyakininya.....:
GEORGE TOWN: Jutawan terkemuka, T. Ananda Krishnan meluangkan sedikit masa daripada kesibukan kerja untuk bertemu dengan anaknya, Ven Ajahn Siripanyo, seorang sami Buddha yang berada di Bukit Bendera.
Ananda Krishnan, orang paling kaya nombor dua di Malaysia membuka kasut untuk menemui anak yang berdiri memerhatikannya...
Dengan hanya berkemeja-T dan berseluar jean, taikun berusia 74 tahun itu tiba di tempat tumpuan pelancong itu dengan menaiki sebuah kereta mewah jenis BMW dan ditemani beberapa pengawal peribadi kira-kira pukul 9 pagi, Isnin.
Beliau dibawa ke lokasi yang tidak diketahui jauh di dalam hutan di Bukit Bendera di mana anaknya berada di situ bersama dengan 60 sami yang lain.
Difahamkan Ven Siripanyo adalah anak tunggalnya daripada perkahwinan terdahulu.
Akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh merakamkan detik-detik pertemuan individu kedua terkaya di Malaysia itu bersama anaknya.
Ven Siripanyo dilaporkan berada di situ pada Ahad sebelum bermalam di sebuah bangunan ala kolonial di dalam hutan itu. Akhbar itu turut melaporkan Ven Siripanyo tunduk sebagai tanda hormat apabila melihat bapanya. Dia kemudiannya membawa bapanya ke sebuah taman di mana Ananda Krishnan mengambil gambar pemandangan sepanjang lawatannya.
Ananda Krishnan atau nama ringkasnya, AK mempunyai harta kekayaan bernilai RM29.66 bilion menurut majalah Forbes.
Beliau merupakan individu kedua terkaya di Asia Tenggara selepas Robert Kuok dan menduduki tempat ke-89 di dunia.
Beliau memiliki empayar multimedia termasuk dua syarikat telekomunikasi Maxis Communications dan Measat Broadcast Network Systems (Astro).
(Sumber: mStar)

23 April 2012

Alamak...50 Tahun Lagi Lelaki Akan Pupus Dari Dunia Ini?

 
Sama ada korang lelaki atau wanita, korang pasti setuju dengan hakikat ini: apa guna jadi lelaki jika tak mampu membuktikan kelelakiannya? Sebab itu ada lelaki yang sanggup bunuh diri bila dah tak sempurna kelelakiannya lagi...nauzubillah...

Apa guna jadi lelaki jika berkahwin tidak mampu memuaskan naluri isteri? Juga apa guna jadi lelaki jika gagal menghamili isterinya kerana kandungan spermanya yang tak bermutu? Apa guna jadi lelaki gagah macam badang, hero atas ranjang tapi rupanya hanya "menembak" dengan "peluru kosong"?


Sebuah institusi keluarga yang sempurna ialah apabila ada suami, isteri dan anak-anak. Jika cuma ada suami dan isteri tanpa anak-anak, betapa sepinya sebuah rumah yang dilengkapi perabot hebat-hebat, begitu banyak bilik, tapi cuma satu bilik yang ada penghuni!



Walaupun ia takdir Illahi bahwa ada lelaki yang subur, ada lelaki kurang subur, malah ada pula lelaki tak subur langsung, tapi setiap lelaki perlu berusaha di samping berdoa supaya dia sentiasa menjadi lelaki sejati. 




Berita dari Mumbai, India seperti yang dilaporkan oleh akhbar Times of India ini pasti sangat membimbangkan kaum lelaki. Mengikut laporan akhbar itu  dunia berdepan masalah ketiadaan lelaki subur pada 2062 (50 tahun lagi). Ini berlaku kerana bilangan sperma mikroskopik yang boleh menghasilkan benih bayi semakin berkurangan kerana peningkatan tahap tekanan, obesiti dan pencemaran udara masa kini.

Mengikut Dr P M Bhargava yang membuat kajian itu kekurangan sperma pada lelaki dikesan sejak pertengahan tahun 1990-an di Barat. Kajian di Barat menunjukkan bilangan itu menurun dua peratus setiap tahun. Jika tren ini berterusan, tiada lagi lelaki subur 40 hingga 50 tahun akan datang, kata Dr Bhargava yang dianggap antara saintis terkemuka India.



Beberapa tahun lalu, kajian di Scotland terhadap 7,500 lelaki yang mengunjungi Pusat Kesuburan Aberdeen antara 1989 hingga 2002 menunjukkan purata sperma berkurangan hampir 30 peratus. 30 peratus bukan sikit beb!!


Kajian lain dari Copenhagen pula mendapati mendapati punca utama masalah itu ialah penyalahgunaan alkohol, merokok dan obesiti. Penggunaan racun serangga seperti DDT dan dioksin juga antara punca masalah itu.

Di Malaysia juga JR percaya hal ini berlaku, semakin ramai lelaki yang tak subur. Lihatlah ibu bapa kita dulu, berapa anak mereka? JR sendiri dari satu keluarga besar sembilan beradik. Tapi kami anak-anak ibu dan ayah tak seorang pun yang mampu mengalahkan rekod cemerlang ibu bapa kami yang beranak sampai sembilan orang. Antara kami sembilan beradik mungkin JR yang paling subur..(tak payah diceritakan berapa anak JR takut nanti korang terkejut dan yang lebih penting bimbang jatuh riak pula...)

Jika ramalan bahwa 50 tahun lagi lelaki subur akan pupus dari dunia ini (JR tak yakin ramalan saintis 100% benar), bermakna wanita yang berkahwin 50 tahun akan datang hanya berkahwin dengan lelaki yang umpama sepotong daging, mereka cuma tahu bekerja dan pandai buat duit tapi tak reti dan tak mampu  buat anak! Ketika itu, jika wanita kena rogol pun mereka tak akan dapat anak kerana perogol seganas mana pun hanya "menembak" dengan menggunakan "peluru kosong"...Huhuhuhu...

Kesiannya lelaki lima puluh tahun akan datang....